Daniel sedia sebarang posisi

Iklan
Daniel Ting. Foto Bernama

BEK kiri Harimau Malaya, Daniel Ting bersedia untuk mengambil alih peranan lebih menyerang bagi mengimbangi ketiadaan beberapa pemain sayap dalam dua perlawanan penting Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan ini.

Walaupun mungkin berdepan saingan untuk posisi itu, pemain berusia 31 tahun itu tidak kisah bermain sebagai bek sayap jika ketua jurulatih Kim Pan Gon menuntutnya kerana sudah biasa beraksi di posisi berkenaan bersama Sabah FC.

Iklan
Iklan

"Saya memainkan peranan lebih menyerang dan lebih tinggi dengan Sabah, tetapi kami juga mempunyai pemain muda lain...jadi saya rasa kami mempunyai banyak pilihan untuk menggantikan kehilangan pemain," katanya ketika ditemui media semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad.

Skuad negara dibelenggu kecederaan dengan pemain sayap, Faisal Halim dan Arif Aiman ​​Mohd Hanapi; penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales dan penjaga gol pilihan pertama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed kesemuanya berada dalam senarai serpihan.

Iklan

Daniel berkata, Malaysia di ranking ke-138 dunia telah menunjukkan kemampuan mereka dalam kemenangan 4-3 menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), November lalu.

"Kami tidak boleh pergi ke sana (ke Bishkek) memikirkan bahawa kami akan kalah. Sudah tentu, kami mahu memenangi setiap perlawanan, jadi kami perlu pergi ke sana dengan fikiran positif.

Iklan

"Kami bekerja keras dalam latihan minggu ini. Kini, seluruh pasukan sudah bersama..jadi kami benar-benar boleh turun dan berusaha dengan taktik yang ditetapkan jurulatih," katanya.

Selepas perlawanan menentang Kyrgyzstan, Malaysia akan menamatkan kempen Kumpulan D mereka dengan melayan kunjungan Taiwan di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

Taiwan tercorot dalam kumpulan tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!