SHAH ALAM - Pengarah berkaliber, Syafiq Yusof terus membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan filem tempatan yang menepati selera ramai.
Selepas mencipta rekod dengan kutipan lebih RM54 juta menerusi Polis Evo 3 pada tahun lalu, teraju utama dalam pembikinan filem itu kembali memukau penonton dengan Sheriff: Narko Integriti.
Setakat 20 Mei 2024, filem ke-15 arahan Syafiq itu sudah mencatat kutipan RM60.5 juta dan belum dicampur dengan jumlah kutipan bagi tayangan di Indonesia serta Hong Kong.
Meskipun agak sukar untuk mengatasi kutipan filem abangnya, Syamsul menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tetapi sentuhan Syafiq yang semakin matang pasti telah mengukir senyuman buat bapanya, yang juga penerbit dan pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam.
Kejayaan itu sekali gus melonjakkan lagi nama syarikat produksi Skop Productions yang dibina Yusof.
Masakan tidak, Syamsul, 40, dan Syafiq, 32, kini meneruskan legasi Yusof, 70, di kerusi pengarahan, manakala puteri tunggalnya, Nursyamin membantu mengendalikan syarikat tersebut.
Bahkan Syamsul, anak kedua, dan Syafiq keempat daripada empat beradik dilihat saling bersaing dalam menghasilkan karya bermutu.
Syamsul misalannya telah berjaya menghasilkan banyak karya yang berada dalam senarai 15 buah filem mendapat kutipan tertinggi (menurut laman web Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia – Finas) iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebanyak RM97.42 juta, diikuti Munafik 2 (RM37.74 juta) dan Munafik (RM17.04 juta).
Syafiq pula tidak kurang hebatnya menerusi kutipan pecah panggung filem Polis Evo 3 (RM54.11 juta), Abang Long Fadil 3 (RM24.20 juta) dan Abang Long Fadil 2 (RM18 juta).
Secara keseluruhan, Yusof, Syamsul dan Syafiq telah mengarahkan 36 buah filem box office, kebanyakannya menerusi Skop Productions dengan kutipan lebih RM400 juta.
Skop Productions telah menerbitkan hampir 50 buah filem sejak ditubuhkan pada 1984.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan Syamsul dan Syafiq adalah pengarah muda yang mampu mencipta magis dalam karya-karya arahan mereka sehingga mampu membawa pulang puluhan juta ringgit bagi setiap filem.
Rekod itu walaupun dikejar beberapa syarikat gergasi lain, namun mereka tidak mempunyai pelapis untuk mewarisinya, berbanding dengan Yusof serta anak-anaknya.
Syamsul memulakan karier dalam dunia pengarahan sebagai pengarah drama termasuk beberapa episod Gerak Khas.
Filem pertama, Evolusi KL Drift muncul pada 2008, namun Evolusi KL Drift 2, dua tahun kemudian melayakkan Syamsul menerima trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM). Syamsul sekali lagi menggondol trofi Pengarah Terbaik FFM 24 menerusi KL Gangster.
Syafiq juga tidak kurang hebatnya apabila karya pertamanya, SAM: Saya Amat Mencintaimu (2012) melayakkan beliau menerima anugerah Pengarah Harapan pada FFM 25 dan diiktiraf sebagai Pengarah Paling Muda oleh Malaysia Book of Records iaitu pada usia 24 tahun.
Syafiq kemudiannya memilih untuk mengetengahkan watak Abang Long Fadil daripada filem KL Gangster sebagai judul filem dan watak penting bagi karya keduanya. Ternyata Abang Long Fadil juga mencetuskan fenomena tersendiri dan sudah mempunyai tiga francais filem di bawah nama sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!