SHAH ALAM - Pengkritik filem, Hassan Muthalib berpendapat, kejayaan sesebuah filem itu dibantu dengan sesi promosi yang baik.
Ujarnya yang juga Bapa Animasi Negara, menerusi promosi, orang ramai akan mengetahui mengenai sesebuah filem itu dan juga pengarahnya.
"Selalunya filem arus perdana melalui promosi orang akan tahu dan tertarik untuk menonton. Macam filem Datuk Yusof Haslam, cara pengarahan beliau tersusun dan filem mantap, dibantu pula dengan promosi, orang pasti tertarik untuk menonton.
"Malah kalau di luar negara pun, penerbit akan melaburkan berpuluh juta untuk tujuan promosi walaupun teraju utama dan pelakonnya dikenali ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya pandangannya mengenai Syafiq Yusof, Hassan berkata, dalam buku pertama yang dihasilkan beliau, Malaysian Cinema in a Bottle, beliau sudah menamakan Syafiq sebagai pengarah muda yang wajar diberikan perhatian.
"Saya nampak potensi Syafiq sejak dia mengarah filem SAM. Malah dalam buku pertama saya, sudah maklumkan dia pengarah yang wajar diberikan perhatian.
"Jangkaan saya betul sebab kita boleh lihat perkembangan dia yang lebih baik daripada sebuah filem ke sebuah filem lain.
"Garapan dan sentuhan dia juga berbeza. Bagi saya Yusof dan anak-anaknya ada sentuhan filem box-office,” ujarnya.
Tambah Hassan, beliau tidak melihat Mat Kilau arahan Syamsul sebagai satu kejayaan tetapi merasakan Syafiq boleh menghasilkan filem yang lebih baik pada masa akan datang jika sesuai dengan perbelanjaannya.
"Dengan bajet terhad yang dia terima, dia boleh hasilkan filem hebat. Bayangkan kalau dia dapat bajet lebih besar lagi. Oleh itu, Syafiq jangan dikongkong penerbit. Kalau Syafiq nak lakukan sesuatu melibatkan perbelanjaan lebih besar, penerbit kena percaya,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!