SHAH ALAM - Lebih empat dekad berbakti dalam industri seni, penerbit dan teraju filem terkenal, Datuk Yusof Haslam tidak pernah mendabik dada dengan apa jua kejayaan yang diperoleh pada hari ini.
Ujar figura berusia 70 tahun itu, apa sahaja kejayaan yang datang adalah rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.
"Ketika saya tubuhkan Skop Productions hampir 40 tahun lalu, saya sendiri tidak pernah menjangkakan syarikat saya selama ini masih mampu bertahan, melalui segala onak ranjau.
"Walaupun ada yang menganggap kami syarikat penerbitan gergasi, pada saya kami hanya syarikat kecil yang masih kekal berkarya. Mungkin juga kerana kami antara syarikat Melayu yang ada.
"Saya sendiri tidak pernah lupakan jasa stesen televisyen yang membantu menayangkan drama terbitan saya.
"Walaupun ada yang menganggap saya tidak perlu lagi menerbitkan drama kerana kejayaan filem terbitan syarikat,” katanya.
Bintang yang mula dikenali menerusi filem Bayangan Maut itu turut mengharapkan lebih banyak lagi filem Melayu akan diterbitkan pada masa akan datang oleh penerbit berbangsa sama.
Justeru beliau berharap, Skop Productions akan menjadi pemangkin dan pendorong buat syarikat perfileman lain meneruskan perjuangan dalam industri.
"Bukan mahu menidakkan bangsa lain, tetapi kita sebagai orang Melayu harus berusaha jadikan industri seni sebagai lambang kejayaan buat bangsa kita.
"Sebagai bapa, saya tidak pernah menjangkakan anak-anak menyambung legasi saya.
"Selain Syamsul dan Syafiq di sebalik tabir, seorang lagi anak saya turut bantu uruskan syarikat.
"Bagi saya apa yang penting adalah semangat juang yang kuat dan tidak pernah anggap syarikat kami paling hebat,” tuturnya.
Tambah Yusof, beliau juga sering mengingatkan anak-anak bahawa kejayaan hari ini tidak menjanjikan kejayaan pada hari esok dan kegagalan hari ini tidak bererti gagal selamanya.
Oleh itu, apa yang penting adalah tidak mendabik dada dan tidak melupakan orang di belakang yang sentiasa bersama-sama.
"Arwah bapa mentua saya selalu berpesan jangan lupa pekerja dan kru belakang tabir yang bantu kejayaan saya. Selain itu selalu bayar zakat untuk bantu orang susah.
"Kita berusaha, ALLAH tentukan. Saya tak pernah berputus asa. Jangan patah semangat kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha yang kuat. Usaha yang kuat tidak menjanjikan kejayaan tanpa izin ALLAH.
"Tetapi jika kita ada semangat juang yang kuat, doa tidak putus, insya-ALLAH, Yang Maha Esa akan bantu kita,” katanya.
Ditanya perancangan Skop Productions selepas ini, Yusof berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan produksi dari luar sekali gus membawa filem syarikat itu ke mata dunia.
Malah, Yusof juga mengimpikan sebuah filem epik terbitan syarikatnya suatu hari nanti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!