Pengarah JPNIN, anak mengaku tidak bersalah

Iklan
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

BUTTERWORTH - Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini selepas dituduh mendapatkan suapan dengan memberikan projek bernilai RM45,472 kepada anaknya.

Tertuduh, Mohd Saidi Midin, 59, dan anaknya, Mohd Al-Azhin Mohd Saidi, 28, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan berasingan, dibacakan di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohd Saidi didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengarah JPNIN Pulau Pinang dengan Gred 52 untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek perkhidmatan sistem EDU KIDS bernilai RM45,472 untuk dibekalkan oleh Syarikat Thekiey Studio yang dimiliki oleh anak kandungnya, Mohd Al-Azhim, empat tahun lalu.

Tertuduh yang juga bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat JPNIN Pulau Pinang, Aras 5 Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, George Town antara Mac hingga Disember 2016.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Mohd Al-Azhim didakwa bersubahat dengan bapanya yang merupakan pengarah JPNIN Pulau Pinang yang telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek itu kepada syarikat miliknya di tempat dan masa yang sama.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Subseksyen 23(1) dan Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Ahmad Azhari membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan Mohd Saidi menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Mohd Al-Azhim diarah melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

Ahmad Azhari menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM S Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri manakala peguam Muhamad Asri Abdul Hamid mewakili kedua-dua tertuduh.