SHAH ALAM - Pengarah prolifik, Syafiq Yusof tidak pernah menganggap dia sebagai 'lubuk emas' buat Skop Productions, sebaliknya berterima kasih kepada bapanya yang memberi kepercayaan kepadanya menghasilkan filem.
Ujar lelaki berusia 31 tahun itu, pelaburan dan modal yang diberikan oleh syarikat bapanya itu membolehkan dia terus berkarya.
"Bagi saya Skop Productions yang beri saya ekosistem untuk menghasilkan filem, bukan sekadar modal tetapi juga platform. Kalau tiada Skop Productions tak mungkin saya dapat hasilkan filem.
"Mungkin tuahnya, kami tidak henti menghasilkan filem dan orang masih mempercayai filem terbitan Skop Productions. Dalam masa sama, kejayaan filem terkini juga membantu menambahkan lagi pengikut,” ujarnya.
Biarpun mendapat kepercayaan ramai untuk menghasilkan filem, sutradara yang mula dikenali menerusi filem SAM: Saya Amat Mencintaimu itu tidak berasa terbeban atau tertekan dengan jangkaan penonton terhadap naskhah yang dihasilkannya.
"Saya tak ada rasa gementar atau tertekan atau fikir yang bukan-bukan. Fokus saya adalah buat filem sebaik mungkin.
"Malah saya sendiri tidak meletakkan sebarang jangkaan atau sasaran bagi setiap filem yang saya hasilkan.
"Ada ketika, filem yang untuk tontonan umum tidak mendapat sambutan hangat, berbanding filem yang untuk tontonan 16 tahun ke atas macam Sheriff.
"Jadi susah nak jangka apa penonton suka,” katanya yang sedang menyiapkan filem terbaharu arahannya, Blood Brother.
Syafiq turut berharap lebih banyak lagi filem tempatan menembusi pasaran luar seperti lambakan karya luar di pawagam negara kita.
"Kalau ikutkan filem kita sukar untuk tembusi pasaran luar terutama di Indonesia, tetapi filem negara jiran mudah ditayangkan di sini.
"Jadi saya harap pada masa akan datang, ada lebih banyak filem kita diberikan peluang sebegitu di negara lain,” ujarnya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!