LEWAT malam Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan berita penahanan ibu bapa kepada Zayn Rayyan, 6, kanak-kanak austisme yang dibunuh dan mayatnya ditemui di sebuah anak sungai di Damansara pada Disember lalu.
Kes kanak-kanak ini telah meruntun hati rakyat Malaysia dan sebab itu, perkembangannya sentiasa dinanti-nantikan.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk ganjaran ditawarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat, namun setelah lima bulan, belum ada pentunjuk meyakinkan untuk memberkas pembunuh kanak-kanak tersebut.
Atas risikan dilakukan, polis akhirnya menemui petunjuk baharu yang membawa kepada penahanan ibu bapa Zayn Rayyan bagi membantu siasatan.
Perkembangan ini ternyata melegakan kerana ramai yang bimbang kes tersebut akan tergantung begitu sahaja dan kematian Zayn Rayyan terus kekal misteri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini memaklumkan tidak akan menutup kes tersebut, malah menganggapnya sebagai ‘hutang’.
"Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat,” memetik kata-kata beliau ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada awal Mei lalu.
Jelas kini Mohd Shuhaily sedang berusaha untuk melunaskan ‘hutang’ tersebut.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Zayn Rayyan ini, ada juga yang terkejut dan bersimpati terhadap kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa penahanan pasangan suami isteri itu baru permulaan dan masih banyak perkara perlu disiasat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain juga memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu bapa kanak-kanak itu.
Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang lebih arif bagi menjalankan siasatan.
Janganlah buat spekulasi atau komen-komen yang bukan-bukan berhubung kes ini di media sosial.
Semoga pihak polis dapat merungkai misteri kematian Zayn Rayyan yang tercatit dalam sejarah negara, sekali gus pembelaan buat anak syurga itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!