[VIDEO] Warga emas 90 tahun tunai haji bersama cucu

Iklan

MAKKAH - Dua tahun berturut-turut tawaran ke Tanah Suci terpaksa ditolak, namun akhirnya rezeki berpihak kepada warga emas berumur 90 tahun ini apabila bergelar duyufurrahman bagi musim haji 1445H/2024.

Zakaria Hamat dari Kampung Bilok, Kota Bharu menunaikan ibadah itu dengan diiringi cucu sulungnya, Mohd Syafiq Mohd Sekari, 37.

Iklan
Iklan

Mohd Syafiq memberitahu, keputusan berat untuk menolak tawaran pada 2022 dan 2023 itu kerana belum bersedia disebabkan masalah kewangan serta keadaan keluarga yang tidak mengizinkan.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk membawa datuknya kerana tiada lagi waris lain yang boleh berbuat demikian susulan ayahnya iaitu anak tunggal Zakaria telah meninggal dunia.

Iklan
Zakaria bersama cucunya, Mohd Syafiq ketika selesai melaksanakan umrah pertama.

"Tahun ini, saya nekad kerana saya cucu sulung, ayah saya yang merupakan anak tunggal datuk pun sudah meninggal. Jadi, saya usahakan juga macam mana cara pun nak bawa datuk saya ke Tanah Suci ini,” kata Mohd Syafiq kepada petugas media, di sini, baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu dia membuat pendaftaran haji pula dibuat pada 2003 dan isterinya, Ramlah Deris, 85, tidak dapat hadir bersama kerana masalah kesihatan.

"Isteri saya pernah buat pembedahan perut buang ketumbuhan. Dia cakap tak apa saya pergi haji dulu dan pesan untuk doakan semua sihat," kata Zakaria yang berkahwin sejak 65 tahun lalu.

Walaupun usianya mencecah 10 dekad, tetapi tahap kesihatan datuk kepada 11 cucu ini masih lagi baik kerana tidak mempunyai sebarang penyakit.

Zakaria ceria bersama cucunya, Mohd Syafiq ketika ulang alik ke masjid.

Zakaria yang merupakan jemaah haji tertua bagi musim kali ini berkata, tiada petua tertentu untuk kekal sihat, sebaliknya hanya mengamalkan pelbagai jenis bacaan termasuk ayat surah at-Taubah dan selawat dalam rutin hariannya.

"Alhamdulillah, kesihatan masih baik dan tidak ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung.

"Saya selalu berselawat terutama bila selepas solat Maghrib dan Isyak sambil berdoa ALLAH panjangkan umur serta sihat tubuh badan," katanya.

Sementara itu, Mohd Syafiq yang bekerja sebagai juruteknik di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, dia sebenarnya menumpang tuah datuknya dalam jemputan menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini.

"Kalau diikutkan, giliran saya lama lagi dan disebabkan rayuan menjadi pengiring, alhamdulillah syukur saya boleh hadir bersama-sama menunaikan haji.

"Bagi tawaran haji 2024, ALLAH permudahkan pelbagai urusan termasuk dalam mencukupkan bayaran haji. Alhamdulillah berkat doa saya boleh tunaikan haji bersama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!