[VIDEO] Sanggup beli burung 'kayangan' RM25,000 demi hobi

Iklan

IPOH - Bosan terkurung di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021 menjadi pencetus minat membela burung kakak tua yang berharga mencecah puluhan ribu ringgit.

Bagi Shamsul Mohd Kharuddin, 50, disebabkan itulah dia memelihara burung eksotik itu bermula dengan seekor kini menjadi tiga ekor burung kakak tua dari spesis green wing macaw, caique dan indian ringneck sehingga kini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kos permulaan bagi hobinya itu memang agak mahal kerana harga seekor burung tersebut di antara RM25,000 hingga RM1,000 bergantung kepada spesies.

Shamsul menunjukkan burung dari spesis caique yang dipeliharanya.

"Saya meminati burung kakak tua ini sejak kecil lagi tetapi baru sekarang merasa untuk membela burung ini. Ini semua bermula waktu PKP sebab saya bosan duduk rumah, jadi saya beli burung ini.

Iklan

"Minta mendalam ini kerana burung ini pintar dan mesra sebab ia kenal tuan dan yang paling utama boleh mengajuk. Kelakuan burung menghiburkan saya dan menghilangkan stres," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika Majlis Perasmian Persatuan Burung Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.

Shamsul berkata, memelihara burung tersebut tidaklah terlalu sukar tetapi memerlukan tumpuan dan masa yang panjang kerana perlu bersama haiwan tersebut bagi mencipta keserasian.

Iklan

Menurutnya, pada peringkat permulaan agak mencabar kerana burung tersebut akan bertindak agresif kerana belum mengenali tuannya namun selepas itu haiwan berkenaan menjadi mesra.

Jelasnya, setiap selama dua jam masa diperuntukkan untuk bersama dengan burung-burung tersebut bagi memastikan proses suai kenal berlaku dengan pantas dan seterusnya mengajar haiwan berkenaan.

Sebahagian ahli Persatuan Burung Kakak Tua Perak yang berdaftar.

"Nak bela burung ini kena berani dan kenal perangainya sebab setiap burung ini berbeza tingkah laku. Lebih banyak masa kita luangkan bersama haiwan ini, lebih cepat ia mesra. Cuma burung ini tak boleh stres, jika stres, ia akan mula mencabut bulu. Jadi kena selalu bermain dan buat aktiviti yang disukai mereka.

"Dari segi kos makanan burung ini tak banyak sebab makanan seperti kekacang, buah-buahan dan sebagainya mudah diperoleh malah boleh tahan sehingga tiga bulan. Kos yang mahal hanya membeli burung tersebut," katanya.

Menurut Shamsul lagi, burung-burung tersebut juga tidak dikurung sebaliknya dibiarkan terbang bebas kerana telah dilatih untuk kembali semula.

Sementara itu, Penaung Persatuan Burung Kakak Tua Perak, Rozamir Zulkifli berkata, pemilik burung tersebut sudah lama mempunyai komuniti sendiri namun persatuan tersebut julung kali ditubuhkan bertujuan mengumpulkan peminat-peminat haiwan tersebut.

Katanya, persatuan tersebut ditubuhkan bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman menjaga haiwan tersebut selain memastikan ia dipelihara dengan betul dan memperoleh lesen yang sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata, sehingga kini keahlian berdaftar bagi Persatuan Burung Kakak Tua Perak itu seramai 150 orang.