SETIU - Kemeriahan musim cuti persekolahan kali ini memberi limpahan rezeki buat pengusaha bot pelancong di Jeti Merang, di sini apabila menerima peningkatan pelancong untuk ke Pulau Redang.
Khairul Azhar Mohd Darus, 43, berkata, peningkatan permintaan lebih sekali ganda menyebabkan mereka terpaksa menyewa bot daripada pengusaha lain bagi memenuhi permintaan yang mendadak.
Katanya, langkah itu bagi menambah perjalanan bot untuk menampung kapasiti penumpang dari jeti persendirian di Merang ke pulau tersebut.
"Cuti sekolah kali ini lebih meriah berbanding musim cuti sebelum ini. Kalau hari biasa kita mampu meraih pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,500 sehari tetapi ketika waktu cuti ni meningkat sehingga mencecah RM5,000 sehari.
"Kami pengusaha bot pelancong tidak menang tangan sehingga terpaksa menyewa bot dari pengusaha lain sekiranya pelancong terlalu ramai," katanya ketika ditemui di Jeti Merang di sini pada petang Ahad.
Khairul Azhar berkata, disebabkan jumlah pelancong yang ramai, ada antara mereka terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk menunggu giliran menaiki bot.
"Kami di sini menerima pelanggan yang datang terus ke kaunter atau yang telah membuat tempahan awal.
"Ada antara tempahan diterima untuk perjalanan lebih awal sebulan kerana mereka mahu bersedia lebih awal dan tidak mahu menunggu lama," katanya.