NEW DELHI - Jumlah kematian akibat gelombang haba ekstrem di India telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 56 orang dalam tempoh Mac hingga Mei ketika negara Asia Selatan itu berdepan impak dahsyat fenomena perubahan iklim.
Data pemerintah menunjukkan hampir 25,000 kes strok haba turut direkodkan sepanjang tempoh tiga bulan tersebut setelah ibu kota dan negeri Rajasthan mencatatkan suhu sehingga 50 darjah Celsius.
Laporan oleh Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NCDC) menunjukkan keadaan cuaca panas melampau paling teruk adalah pada bulan Mei dengan 46 kematian dan 19,189 kes strok haba, sekali gus mencetuskan krisis kesihatan awam yang serius.
Beberapa laporan media tempatan mendakwa angka korban sebenar dipercayai jauh lebih tinggi dan melebihi 80 orang.
Pejabat cuaca meramalkan keadaan panas melampau itu akan berterusan sehingga Rabu dan ketibaan monsun lebih awal di negeri selatan Kerala pada minggu lalu dijangka menurunkan suhu, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penduduk.
Keadaan di timur New Delhi pula berdepan situasi berbeza setelah dibadai Siklon Remal.
Hujan lebat berterusan di negeri Assam berkenaan telah meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa sejak Selasa lalu. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!