JAGUH Muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar menegaskan wang ringgit bukan motivasi utamanya setiap kali beraksi di gelanggang.
Sebaliknya, Johan yang mesra disapa Jojo menegaskan dia bertarung demi legasinya dalam sukan itu selain mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Johan, 18, yang baharu sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu kembali ke gelanggang One Championship pada Sabtu ini.
Bintang muda yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu akan membuat perhitungan dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Pertarungan kali ini menawarkan bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68) kepada pemenang andai melepasi syarat ditetapkan.
"Saya tidak menjadikan wang sebagai motivasi utama kerana saya memang suka bertarung dan mahu buat Malaysia bangga.
"Kalau dapat ganjaran, saya anggap itu sebagai bonus,” katanya ketika sesi bersama media secara atas talian pada Isnin.
Mengulas pertarungan dengan Tran Duy, Johan berkata:"Rasanya Tran Duy adalah lawan yang paling sukar sejak dalam bidang muaythai. Dia berpengalaman dan dia juga sudah lama dalam arena ini tapi saya sudah bersedia untuk berdepannya.”
Untuk rekod, kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak One Championship bernilai AS$100,000 (RM463,300).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!