SHAH ALAM - Malaysia menyarankan agar pihak berkaitan menerima tiga cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata, ia dilihat sebagai langkah yang terbaik untuk menamatkan malapetaka berterusan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Wilayah Palestin.
Menurut kenyataan itu, Malaysia berpegang teguh dengan pendirian dalam menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk menamatkan segera pembunuhan rakyat Palestin serta konflik di Gaza.
"Kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel telah menyebabkan satu tragedi kemanusiaan yang dahsyat di Gaza.
"Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin merupakan satu langkah yang tepat,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Kenyataan itu turut memaklumkan, masyarakat antarabangsa mesti mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.
Ujarnya, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!