SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan bahawa isterinya menghidap kanser usus tahap empat dan kini sedang dirawat di hospital di Kuala Lumpur.
Menerusi satu rakaman video berdurasi 1 minit 35 saat, Wan Saiful berkata, keadaan isterinya kini kritikal kerana kanser telah merebak ke beberapa organ yang lain.
"Isteri saya sudah lama menghidap kanser usus dan menjalani rawatan kimoterapi sejak tahun 2020.
"Kini sudah tahap empat daripada usus dan telah merebak ke beberapa anggota tubuh yang lain. Jadi agak kritikal situasinya di hospital,” katanya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Menurut Wan Saiful, keadaan lebih memilukan apabila anaknya yang berusia 10 tahun dan 12 tahun melihat keadaan ibu mereka yang kini sedang bertarung nyawa.
Tambahnya, beliau kini berulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk menjaga isterinya dan menyifatkan perkara yang dilalui itu sebagai satu ujian.
"Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat, banyak ujian saya hadapi sama ada dalam gelanggang politik, kebajikan rakyat dan keluarga.
"Justeru, mohon semua sahabat, kenalan dan rakan-rakan mendoakan agar isteri saya sembuh seperti sedia kala serta diberikan kekuatan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada saya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!