SHAH ALAM - Masalah kegemukan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila kini satu daripada dua individu dewasa di negara ini atau kira-kira 11 juta orang mengalami berat badan berlebihan dan obes.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan.
Rekod itu meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.
Malaysia kini dianggarkan mempunyai 22 juta rakyat dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.
Laporan NHMS 2023 juga merekodkan trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Malaysia meningkat 10 peratus antara 2011 hingga 2023.
Pada 2011, data merekodkan sebanyak 44.5 peratus golongan dewasa mengalami lebihan berat badan berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 25, manakala sebanyak 47.7 peratus pada 2015, 50.1 peratus (2019) dan 54.4 peratus (2023).
Cara untuk menentukan BMI individu dewasa adalah dengan membahagikan berat badan (kg) dengan ketinggian (m2).
"Obes dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung.
"Bertindak sekarang, obesiti bukan suatu kebiasaan. Makan secara sihat, bergerak secara aktif, jauhi rokok dan alkohol,” kata KKM menerusi hantaran di aplikasi X.
Mac lalu, Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai ramai rakyat yang mempunyai masalah obesiti mengikut data The World Factbook oleh Central Intelligence Agency dari tahun 2016 hingga 2024.
Menerusi data tersebut, Brunei menduduki tangga teratas dengan 28.2 peratus rakyatnya mempunyai masalah obesiti.
Malaysia, yang menduduki tempat kedua tertinggi merekodkan peratusan sebanyak 19.7 peratus.
Thailand di tangga ketiga dengan 11.6 peratus, diikuti Singapura, Filipina, Indonesia, dan Vietnam.
Masalah berat badan berlebih telah lama menjadi perdebatan di Malaysia.
April lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.
Beliau berkata, pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.
Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu tidak menjamin pengguna tidak akan mencari alternatif lain.
Ia harus mengambil kira keseluruhan sumber makanan yang mudah didapati di Malaysia seperti mi segera dan makanan berkelah, kata beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!