LEBIH 11,000 daripada 373,225 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A bagi semua mata pelajaran.
Pencapaian calon SPM 2023 adalah yang terbaik apabila Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, seramai 226,358 daripada keseluruhan calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran berbanding SPM 2022.
Dengan peningkatan jumlah kecemerlangan itu, sudah pasti berlaku persaingan sengit dalam merebut tempat di universiti mahupun kolej, pusat pengajian dan institusi kemahiran.
Untuk digelar sebagai mahasiswa universiti awam, calon itu wajib lulus cemerlang sekurang-kurangnya Bahasa Melayu dan Sejarah.
Walaupun kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cuba menerapkan satu lagi cabang pengajian iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), adakah itu jaminan tempat buat lepasan SPM 2023 yang lain?
Berikutan itu, kerajaan mahupun pihak berkepentingan sudah boleh membuat perancangan menambah bilangan pusat pengajian tinggi mahupun kemahiran di negara ini.
Ini supaya lebih banyak tempat untuk anak-anak ini menyambung pengajian dalam bidang yang mereka impikan, sekali gus jaminan kerjaya.
Pusat kemahiran yang menawarkan kursus TVET juga digalakkan meluaskan lagi cawangan di kesemua negeri berikutan ramai yang sedar bahawa kerjaya berasaskan kemahiran kini amat mahal buat anak-anak mereka.
Universiti awam dan swasta juga boleh membuka cawangan dan tidak semestinya menjadi tunggal di sesuatu tempat.
Sebagai contoh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah pun mewujudkan cawangan yang setidak-tidaknya jumlah tempat ditawarkan kepada bakal mahasiswanya bertambah.
Untuk tahun ini juga, adakah lebih 11,000 calon SPM 2023 yang cemerlang itu mendapat tempat di IPTA, IPTS dan kolej yang sedia ada?
Jika ya, bagaimana pula dengan mereka yang mendapat keputusan SPM hanya cukup-cukup makan?
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!