PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggap belum cukup tegas dalam usaha memastikan masalah tunggakan gaji melibatkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tidak berulang pada masa akan datang.
Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau menyambut baik usaha FAM dalam menangani isu tersebut dengan memberi amaran akhir kepada pasukan terlibat.
Bagaimanapun, Jamal menegaskan, tindakan itu masih tidak menjamin masalah tunggakan gaji akan selesai terutamanya ketika tiba penghujung musim nanti.
"Tidak salah untuk berlembut kerana FAM membuka ruang kepada pasukan tersebut untuk cuba menyelesaikan gaji tertunggak itu. Namun, ia tidak menjamin semua hutang tertunggak itu akan selesai.
"Terdapat pasukan yang mengambil inisiatif membayar secara ansuran kepada bekas pemain mereka. Namun, adakah mereka akan beri jaminan konsisten membayarnya. Atas kertas, mereka mungkin boleh pujuk pemain itu tangguhkan pembayaran tunggakan tetapi sampai bila?
"Dalam masa sama, adakah tindakan FAM itu akan memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji membabitkan pasukan yang bertanding dalam Liga-M pada penghujung musim nanti. Perkara ini sudah lama berlaku dan perlu langkah drastik untuk membendungnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, FAM memberikan amaran akhir kepada Melaka United, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan supaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai selewat-lewatnya 31 Januari ini bagi mengelakkan pemotongan mata dan disingkirkan daripada Liga-M.
Jamal berkata, langkah yang dilihatnya mampu memastikan pasukan terbabit mampu mengatasi masalah pembayaran gaji adalah dengan memansuhkan kuota import.
Jamal percaya langkah itu diyakini berkesan untuk membolehkan tunggakan gaji pemain dapat dibayar sepenuhnya oleh pasukan bermasalah.
"Nak selesai cepat, kena batalkan pemain import pasukan yang mempunyai masalah gaji. Katalah dana lima pemain import sekitar RM100,000, berapa banyak dana boleh bayar masalah tunggakan gaji," ujarnya.