Influenza boleh bawa maut

Iklan
Virus influenza boleh dijangkiti beberapa kali dan boleh membawa kematian jika kesannya teruk kepada individu.

SHAH ALAM - Jangkitan virus influenza yang banyak berlaku ketika ini boleh memberikan komplikasi teruk kepada kesihatan termasuk sesak nafas, telinga bernanah, radang paru-paru atau pneumonia serta boleh membawa kematian.

Pakar Kesihatan Masyarakat dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ramai yang tidak menyedari dijangkiti influenza kerana simptomnya seakan Covid-19.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau mengingatkan mereka yang mempunyai masalah demam selesema dan simptom untuk mendapatkan rawatan segera serta mengasingkan diri kerana virus itu boleh tersebar kepada orang lain pada jarak enam kaki atau 1.83 meter apabila batuk atau bersin.

"Virus influenza ini boleh sampai ke otak, menyebabkan radang paru-paru atau pneumonia, sesak nafas, hampir sama dengan Covid-19. Dalam kes tertentu, ada yang boleh kena dua-dua iaitu Covid-19 dan influenza,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan
Sharifa Ezat

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai banyak kes influenza dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Tambah Sharifa Ezat, influenza mempunyai beberapa jenis dan jenis A merupakan virus influenza yang sering kali menjadi wabak kerana mampu tersebar tidak hanya melalui burung, tetapi juga melalui manusia.

Iklan

Virus influenza B pula merupakan virus yang hanya ditemui pada manusia dan kurang menyebabkan komplikasi.

"Kedua-dua jenis A dan B mudah berjangkit dan boleh mematikan tetapi kemungkinan menjadi wabak adalah lebih kepada jenis A.

Ujarnya, virus influenza boleh dijangkiti beberapa kali dan boleh membawa kematian jika kesannya teruk kepada individu.

Disebabkan itu katanya, orang ramai digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza.

"Kita juga mengharapkan kerajaan boleh memberikan subsidi influenza terutamanya untuk warga emas kerana kosnya kirakira RM100 dan digalakkan diambil setiap tahun.

"Maknanya, ambil suntikan penggalak setiap tahun sebab virusnya ada strain yang berbeza,” jelasnya.

- INFO

Jenis-jenis Influenza A virus yang juga berlaku kepada manusia:

H1N1: Spanish Flu (1918), Swine Flu atau Flu Babi pandemik (2009)

H2N2: Asian Flu (lewat 1950)

H3N2: Hong Kong Flu (lewat 1960)

H5N1: Hampir menjadi pandemik global (pertengahan 2000)

H7N9: Wabak di China (2013)

H7N7: Potensi untuk merebak daripada haiwan kepada manusia

H1N2: Endemik kepada babi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!