SHAH ALAM - Proses pelantikan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu perlu dilaksanakan secara terbuka tanpa ‘rahsia’ untuk memastikan keadilan serta ketelusan dalam pemilihan tersebut.
Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, keterbukaan itu dapat memberikan akses maklumat terhadap pelantikan calon dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pilihan raya.
Menurutnya, masyarakat dapat melihat, membantu dan menilai sendiri calon-calon yang dicadangkan agar ia benar-benar memenuhi kriteria yang diperlukan.
"Pengerusi dan ahli SPR yang dilantik melalui proses ini akan lebih bertanggungjawab terhadap tugas dan amanah kerana adanya pengawasan serta penerimaan daripada masyarakat.
"Calon-calon ini juga lebih cenderung untuk bertindak dengan telus dan adil kerana menyedari mereka sering diawasi oleh masyarakat umum.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan sudah mengenal pasti calon jawatan pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses yang sewajarnya bagi pemilihan itu sudah diikuti dan perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Zainal Adnan berkata, beliau juga berharap agar proses pelantikan secara terbuka tidak menyebabkan calon terdedah dengan tekanan politik dan awam yang akan mengganggu proses penilaian.
"Saya juga berharap proses ini tidak memakan masa yang terlalu panjang berbanding proses tertutup memandangkan ia melibatkan banyak peringkat seperti pencalonan, saringan, temu duga awam dan pengesahan oleh Parlimen,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!