TEMERLOH - Seorang penduduk mengambil inisiatif menanam padi dalam polibeg yang juga julung kalinya diusahakan di Pahang.
Memulakan usaha tersebut berhampiran rumahnya di Kampung Bolok Hulu Sokmek dekat Lanchang di sini, Jelisun Long, 58, mula mengusahakan tanaman makanan ruji rakyat tempatan itu sejak Februari lalu.
Mengakui turut bimbang ramalan kemarau selama 10 tahun di negara ini, Jelisun menyifatkan projek itu sebagai persediaan awal untuk bekalan makanan.
Beliau yang juga Biro Ekonomi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu mengusahakan 600 polibeg padi dengan modal permulaan kira-kira RM2,000.
"Saya dipertanggungjawabkan untuk mencari inisiatif sesuai untuk penduduk kampung, mengenangkan harga beras semakin mahal, jadi saya memilih untuk menanam padi di dalam polibeg.
"Idea ini juga timbul selepas melihat di YouTube, ada penduduk di Indonesia tanam padi di tepi kawasan rumah sahaja.
"Sebelum memulakan projek ini, saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mempelajari teknik tanaman di Selangor selain dapatkan benih padi dari Kedah," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau, penggunaan polibeg lebih menjimatkan kos, masa dan kurang ancaman haiwan perosak seperti serangga dan siput berbanding di sawah.
Jelasnya, untuk ancaman burung, beliau membina rumah jaring untuk mengurangkan serangan haiwan tersebut.
Katanya, projek tanaman padi miliknya itu sudah boleh dituai yang menghasilkan kira-kira empat kilogram beras untuk kegunaan sendiri.
"Projek tanaman padi ini juga telah mendapat sokongan JPKK kampung dan kita akan memulakan projek perintis pada Julai depan di kawasan pekarangan rumah dan mereka kini sedang giat membuat persediaan tapak.
"Ini akan menjadi projek sara hidup dan boleh membantu peserta terlibat mempunyai bekalan beras sendiri nanti," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!