SHAH ALAM - Enam sahabat menikmati percutian ke Kundasang, Sabah setelah 40 tahun berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi sebagai salah satu acara perjumpaan semula.
Pengasas rumah inap, Rosfazila Ramli, 53, berkata, usia bukan penghalang untuk mereka melakukan aktiviti bersama walaupun masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan tuntutan kerja.
Menurutnya, persahabatan yang terjalin sejak bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Teluk Mas, Melaka itu pernah terputus sebaik sahaja menamatkan pembelajaran.
"Kami pernah putus berhubung, namun sejak ada Facebook, kami cari semula rakan-rakan sekolah. Alhamdulillah, hubungan ini berjaya disatukan semula dengan mengadakan beberapa perjumpaan semula.
"Bermula tahun lalu, kami bergiat aktif mengadakan perjumpaan semula dengan berkonsepkan percutian tidak kira di luar negara mahupun dalam negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rakaman yang dimuat di laman sosial, TikTok.
Tambah Rosfazila, percutian ke Sabah itu selama empat hari tiga malam dan mereka turut ditemani suami.
Katanya, persahabatan itu lebih bermakna apabila suami rakan-rakannya kini menjadi sahabat baik sesama mereka.
"Ini bukan ‘reunion’ pertama kami selepas 40 tahun bergelar sahabat. Pertama kali berjumpa pada tahun 2010, ketika itu kami berusia 39 tahun dan anak-anak pun masih kecil lagi.
"Setelah beberapa kali berjumpa, kami merancang untuk melakukan reunion berkonsepkan percutian ke luar negara. Pada tahun 2023, kami pergi ke Indonesia selama lima hari empat malam,” ujarnya.
Tambah ibu kepada empat orang anak itu, percutian bersama rakan sekolah adalah momen terindah kerana mereka dapat mengabdikan kenangan dengan mengenakan pakaian sama.
"Masa inilah keluar cerita-cerita semasa di asrama, cerita hantu, cerita didenda, cerita ‘fly’, cerita ditangkap tengok cerita Hindustan pada waktu malam di bilik tayangan.
"Waktu ini macam-macam gaya keluar dan ketawa sehingga keluar air mata. Alhamdulillah, semua boleh menerima apabila ada dalam kalangan kami mengusik antara satu sama lain,” katanya.
Dalam pada itu, Rosfazila memberitahu bahawa mereka turut mengadakan lawatan ke utara tanah air untuk menziarah rakan dan memberi sumbangan kepada mantan guru.
Ujarnya, mereka semakin kerap berjumpa apabila ada ahli yang dilantik mempelbagaikan aktiviti seperti menjaga kebajikan guru uzur melalui program Ziarah Ramadan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!