MAKKAH - Rombongan haji Thailand berhasrat untuk mempelajari kepakaran Tabung Haji (TH) dalam pengurusan haji bagi menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah di negara itu.
Ketua Majlis Agama Wilayah Yala, Abdul Baziz Chema berkata, pihaknya mahu mempelajari setiap aspek TH, yang mempunyai 60 tahun pengalaman dalam membantu rakyat Malaysia mengunjungi Tanah Suci Makkah dan Madinah.
"Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada TH yang menerima kunjungan kami. Kami sangat menghargai kerana banyak sangat maklumat kami dapat untuk dijadikan satu panduan dalam menguruskan rombongan haji Thailand.
"Kita maklum bahawa Malaysia adalah abang bagi kami khususnya kepada masyarakat Islam di Selatan Thai. Banyak perkara yang kami pelajari di atas kejayaan yang telah dikecapi Malaysia dan TH,” katanya kepada petugas media.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman di ibu pejabat TH Makkah pada Ahad.
Abdul Baziz berkata, antara perkara yang wajar dicontohi pihaknya adalah kaedah mewujudkan simpanan sebagai persediaan jemaah untuk menunaikan haji.
"Saya sangat tertarik kepada kaedah TH yang mewujudkan simpanan untuk persiapan jemaah menunaikan haji. Kita di Thailand belum lagi buat seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Penasihat kepada Sheikhul Islam Thailand berkata, pihaknya berharap akan ada lagi sesi pertemuan dengan TH pada masa akan datang.
"Saya yakin dengan mempelajari insya-ALLAH kita dapat sama-sama. Saya harap perjumpaan ini bukan yang kali terakhir untuk kami mempelajari urusan-urusan berkaitan haji.
"Kami doakan ALLAH manfaatkan perbincangan dan perbahasan agar dapat menjadi kaedah bagi menyusun rombongan jemaah haji Thailand,” katanya.
Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH menjemput rombongan haji Thailand untuk menyertai Muzakarah Haji yang diadakan setiap tahun sebelum mulanya musim haji yang baharu.
"Sudah tentu setiap negara mempunyai kelebihan yang boleh kita pelajari, itulah yang menjadi semangat dalam perjumpaan kita pada malam ini.
"Perjumpaan ini juga kita akhiri dengan jemputan kita kepada pihak rombongan haji Thailand untuk datang ke Malaysia dan menyertai Muzakarah Haji yang diadakan setiap tahun sebelum mulanya musim haji yang baharu,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!