KUALA TERENGGANU - Pengarah Urusan Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd, Che Salmi Che Ibrahim meninggal dunia di Hospital KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur awal pagi Selasa.
Perkara itu disahkan Pengurus Perhubungan Korporat Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd, Wan Zulaidi Wan Abdul Fatah kepada Sinar Harian.
Menurutnya, arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Ampang Puteri pada jam 4.45 pagi akibat kanser.
"Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Khalifah Taman Jaya, Jalan Pusara, Kuala Terengganu untuk solat jenazah selepas solat Asar sebelum sebelum urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum itu, berita mengenai pemergian Allahyarham tular di media sosial dan turut dikongsikan menerusi hantaran Facebook Pemuda Pas Terengganu.
Allahyarham merupakan antara penyumbang besar kepada Palestin dan berani menyatakan boikot secara terang-terangan terhadap semua produk Israel di Sabasun HYPErRUNCIT.
Pada Februari lalu, premis berkenaan mengumumkan untuk tidak lagi menjual sebarang produk yang memberikan keuntungan kepada negara haram Israel bermula 1 Mac tahun ini.
Syarikat Sabasun yang ditubuhkan pada 2 April 1995 di Terengganu itu mempunyai seramai 450 pekerja kesemuanya terdiri dalam kalangan warga tempatan selain menjual 350 barangan syarikat Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) dan membekalkan 3,500 jenis barangan yang menjana pendapatan RM3 juta sebulan untuk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Setakat ini, syarikat berkenaan mempunyai enam cawangan iaitu di Bukit Kecil, Kuala Terengganu; Wakaf Tembesu di Kuala Nerus; Kijal, Ajil dan Cheneh di Kemaman serta sebuah cawangan di luar Terengganu iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!