MASIH terdapat sebilangan kedai mahupun peniaga yang menggunakan sistem pembayaran secara tunai untuk jual beli barangan meskipun ramai sudah mula menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai ketika ini.
Cuma yang menjadi masalahnya adalah semasa pembayaran hendak dibuat oleh pelanggan, mereka pula tiada baki wang kecil mencukupi.
Situasi itu kadangkala membuatkan peniaga atau penjaga kaunter bayaran itu memberi pulangan baki tidak sama seperti terpapar pada resit.
Misalnya, harga dicaj adalah RM17.95 dan pelanggan membayar dengan not RM20, tetapi baki dipulangkan hanya RM2 sahaja. Selebihnya baki 5 sen yang sepatutnya menjadi hak pelanggan tadi diketepikan begitu sahaja.
Meskipun nilai itu dianggap kecil, namun terdapat sebilangan orang melihat perbuatan tersebut saling tidak tumpah seperti menipu timbangan berat dalam urus niaga. Wajarkah perilaku itu ditegur?
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, terdapat unsur-unsur penipuan apabila harga dipamerkan adalah RM17.95, tetapi pembeli perlu membayar RM18 hanya disebabkan alasan peniaga tiada duit syiling 5 sen untuk dipulangkan.
Sedangkan katanya, harga tersebut ditetapkan oleh pihak peniaga itu sendiri.
"Kami menyarankan agar pihak peniaga menyediakan duit baki 5 sen yang mencukupi apabila dia mengetahui bahawa terdapat barangan yang dijualnya pada harga RM17.95 seperti dalam situasi ini.
Dalam satu riwayat, Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menipu kami, maka bukanlah dia daripada kalangan kami.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan At-Tirmizi)
Melihat kepada hadis itu, Zulkifli berkata, hadis tersebut menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara berkenaan telah disepakati.
"Demikian pandangan yang dikemukakan oleh Syams Al-Haq Al-’Azim Abadi yang dinukilkannya daripada Al-Khattabi.
"Justeru, kami syorkan agar genapkan harga kepada angka yang mudah bagi kedua-dua belah pihak untuk membayar dan juga memulangkan kembali lebihannya.
"Ia sesuai dengan keadah yang menyebut ‘Jual beli berdasarkan kepada keredaan’. Itulah jual beli yang harus dan menepati syarak yang mana ia akan memberi kesan iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ia dikira sebagai muktabar,” katanya.
Dalam pada itu, agamawan tersebut turut mengingatkan agar kita tidak sesekali memakan harta dengan cara yang batil sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam ayat ke-29 Surah an-Nisa’.
Ketika membahaskan tentang ayat itu, Syeikh As-Sa’di menyatakan, cara batil yang dimaksudkan itu merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian.
"Bahkan, boleh jadi termasuk juga di dalamnya adalah memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan kerana hal itu termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak.
"Setelah itu, ALLAH membolehkan mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredai dan sebagainya,” katanya.
Kepada para peniaga, Zulkifli berkongsikan tentang ciri-ciri jual beli yang diharuskan dan sah andai ia memenuhi syarat-syarat serta rukun-rukun berkaitan.
Beliau kemudian menyenaraikan tiga rukun dalam akad jual beli sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji iaitu:
1. Pihak yang melakukan akad.
Mereka ialah penjual dan pembeli yang melakukan akad menurut persetujuan kedua-duanya.
2. Sighah akad.
Ia adalah lafaz yang terbit daripada kedua-dua pihak yang berakad, menggambarkan keinginan dan keredaan masing-masing untuk melakukan akad.
3. Barang jualan dan harganya.
Dari segi syarat-syarat jual beli pula, Zulkifli menjelaskan, barang jualan itu disyaratkan diketahui oleh pihak yang berakad, selain selamat daripada sebarang bentuk gharar dan penipuan.