Malaysia perlu utamakan pelaburan ekonomi perak

Iklan
Anwar berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024) di sini, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam ekonomi perak untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang membolehkan warganegara menua yang aktif dan sihat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekonomi perak ialah semua aktiviti ekonomi, produk dan perkhidmatan yang direka untuk memenuhi keperluan kalangan penduduk yang berusia lebih 50 tahun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, meningkatkan ketersediaan dan kemampuan peranti teknologi daripada teknologi kediaman pintar sehingga peranti boleh guna yang membantu menjejaki penanda kesihatan, membolehkan kalangan penduduk Malaysia yang menua menjalani kehidupan persaraan yang lebih sihat.

"Kemajuan dalam teknologi kebolehcapaian, yang boleh mengatasi kemerosotan mobiliti, pendengaran atau penglihatan, serta dapat meningkatkan produktiviti kalangan penduduk menua di tempat kerja, membolehkan mereka menyumbang kepada tenaga kerja untuk tempoh yang lebih lama,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024) di sini, pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mesti mengutamakan pelaburan dalam sektor penting seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif untuk penuaan aktif.

Iklan

"Menerusi langkah memperuntukkan sumber kepada bidang ini, Malaysia boleh meletakkan kedudukannya untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai AS$15 trilion (RM70.2 trilion), didorong oleh keperluan dan keutamaan jumlah pengguna yang menua.

"Pelaburan sedemikian bukan sahaja menjanjikan pulangan besar malah juga menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup kumpulan penduduk yang semakin tua di samping merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara,” katanya.

Anwar berkata, persediaan untuk negara menua memerlukan pendekatan senegara untuk menambah baik kehidupan penduduk menua Malaysia dan dunia.

Beliau berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan untuk membangunkan ekonomi perak di Malaysia.

"Saya mengharapkan lebih banyak penglibatan daripada sektor swasta dalam membangunkan produk dan penyelesaian dalam bidang ini supaya kita tidak ketinggalan dalam persaingan,” katanya.

ISWC 2024 dua hari mulai hari ini, anjuran KWSP dengan tema ‘Penuaan dan Kepanjangan Usia: Ke Arah Persaraan Bermakna’, membincangkan pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan dan persaraan dengan penekanan khusus diberikan untuk memastikan jaminan pendapatan persaraan. - Bernama