Penjawat awam, kontraktor didakwa 'jual' gelaran Datuk

Iklan
Kia Seng (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Selasa di atas tuduhan menerima rasuah.

MELAKA - Seorang penjawat awam dan kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM47,000 bagi mendapatkan gelaran Datuk kepada seorang wanita, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Low Kia Seng, 58, dan Razizam Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah tiga pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama telah menipu seorang wanita, Seet Xiang Lin, 38, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka boleh membantu mendapatkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka iaitu Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Tindakan tersebut telah mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM47,000 ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Kia Seng. antara 1 Januari 2017 hingga 30 November 2018.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh selain syarat tambahan mereka perlu melapor diri ke pejabat SPRM sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili Kia Seng memohon jaminan minima dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan pendapatan tertuduh sebagai kontraktor renovasi rumah terjejas selepas pasport diserahkan kepada SPRM sejak 2022.

Iklan

Menurutnya, kebanyakan pelanggan tertuduh merupakan warga Singapura yang memerlukan khidmatnya selain tertuduh menghidap sakit darah tinggi dan jantung.

Razizam (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa.

Manakala Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Razizam merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Hujahnya, selain itu tertuduh turut membuat pekerjaan sampingan sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing selain mempunyai anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM30,000 terhadap Kia Seng manakala Razizam dikenakan RM15,000 jaminan bercagar dan RM15,000 tidak bercagar.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebut semula kes pada 5 Julai ini untuk serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!