SUBANG JAYA - Polis memberkas seorang lelaki disyaki memiliki sebilah parang yang disembunyikan di bawah tempat duduk motosikalnya di Taman Subang Mas, di sini, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan anggota polis telah menahan suspek berusia 24 tahun itu pada jam 9.10 malam.
"Sepasukan anggota polis yang melaksanakan rondaan cegah jenayah ragut samun dan pecah rumah di kawasan tersebut telah mengesan dan menahan sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh suspek dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa pemeriksaan dilakukan anggota polis telah menjumpai sebilah parang bersama sarung tangan yang disembunyikan di bawah tempat duduk motosikal tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Wan Azlan berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
Beliau berkata, suspek telah diberi jaminan polis, manakala kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendapat arahan selanjutnya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!