KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Pengarah Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang berdepan pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan bermula 10 September depan.
Hakim, Suzana Hussin menetapkan prosiding berlangsung selama 15 hari iaitu pada 10 dan 11 September manakala Oktober pada 29 dan 30.
"Mahkamah turut menetapkan prosiding pada 7 November dan 4, 5, 9 hingga 12 Disember manakala 7 hingga 9 Januari 2025 selain jadual 16 Ogos untuk sebutan kes bagi serahan dokumen,” katanya.
Beliau menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan pembelaan bagi pihak Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 50, bersetuju dengan tarikh perbicaraan tersebut.
Sementara itu, peguam, Weera Premananda mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan perkara itu.
Dalam pada itu, seramai 15 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, menawarkan suapan itu kepada Ser Lay, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!