KUALA LUMPUR - Undang-undang bagi mengawal selia penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengekang penyalahgunaan teknologi berkenaan bagi tujuan jenayah perlu disegerakan, kata Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez.
Beliau berkata, ini kerana penyalahgunaan AI boleh mewujudkan ancaman kepada kesejahteraan awam dan negara.
"Penggunaan AI terutamanya melibatkan ’deepfake’ mampu menggugat ketenteraman dan keamanan negara jika disalahgunakan seperti menyebar fitnah,” katanya ketika ditemui Bernama selepas dialog berkaitan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) Joint Policy Dialogue on Industry Regulation and Enforcement in Managing Cybercrime, baru-baru ini.
Fernandez berkata, kerajaan perlu memikirkan aspek undang-undang, antaranya seperti mewajibkan platform yang menyediakan perkhidmatan AI untuk mengemukakan notifikasi bahawa sesuatu imej atau video yang dipamerkan adalah dijana oleh AI.
Beliau berkata, dengan cara ini, orang ramai dapat mengetahui imej atau video yang dilihat adalah sesuatu yang tulen atau sebaliknya selain dapat mengelak lebih ramai individu menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Pihak yang menyediakan perkhidmatan AI menurutnya, perlu memikul tanggungjawab dan menumpukan sumber mencukupi bagi memastikan pengguna yang mengakses kepada perkhidmatan itu menggunakannya secara bertanggungjawab.
"Semua platform yang menawarkan perkhidmatan AI dan platform yang menjadi hos perlu mematuhi undang-undang tempatan di ruang digital negara mereka beroperasi,” katanya dan menambah pihak kerajaan perlu memastikan bahawa kepentingan dan keselamatan pengguna diutamakan.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh berlengah dalam merangka undang-undang berkaitan teknologi berkenaan kerana negara jiran seperti Singapura sudah mempunyai undang-undang berkenaan, manakala Thailand dan Indonesia di fasa akhir dalam merangka undang-undang yang sama.
"Kedaulatan digital rantau ASEAN adalah penting dalam usaha menangani penyalahgunaan AI oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Undang-undang untuk setiap negara dan kolaborasi antara semua negara anggota ASEAN bagi keselamatan siber adalah diperlukan untuk memastikan usaha itu lebih efektif,” katanya.
Fernandez berkata, terdapat tiga komponen AI yang perlu diberi perhatian iaitu pembelajaran, kecerdasan serta kesedaran; dan undang-undang yang sesuai perlu digubal agar negara lebih bersedia dalam menghadapi ledakan teknologi berkenaan.
Beliau berkata, komponen pembelajaran melibatkan AI membantu manusia dalam membuat keputusan berdasarkan input yang diberi, komponen kecerdasan pula ialah apabila AI mempunyai kebolehan berfikir setaraf atau lebih baik daripada manusia dan komponen kesedaran pula di mana ia mempunyai kesedaran mengenai dirinya dan keadaan sekeliling.
"Komponen kecerdasan dan kesedaran mungkin tiada lagi buat masa ini, tetapi adalah lebih baik untuk kita bersedia untuk menghadapinya dengan undang-undang yang menyeluruh," jelasnya.
Mengulas mengenai majlis dialog berkenaan, Fernandez berkata, ia merupakan platform yang baik bagi pihak berkuasa dan syarikat teknologi untuk bertukar-tukar pandangan dalam mencari kaedah sesuai bagi menghalang teknologi disalahgunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya pelbagai pihak berkuasa dari Indonesia, Laos, Thailand dan Vietnam hadir ke dialog berkenaan termasuk wakil dari syarikat teknologi seperti Microsoft. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!