Dua pembantu penguasa JKDM didakwa terima rasuah

Iklan
Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,500 sejak 2017 sehingga 2023.

Tertuduh, Che Mohd Taufik Che Arif, 33, yang berdepan 13 pertuduhan manakala Mohd Afiq Ikhwan Ramli, 30, berdepan satu pertuduhan itu didakwa di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Azhar.

Mengikut kertas pertuduhan pertama sehingga 13, Che Mohd Taufik didakwa menerima suapan sebanyak RM9,000 ketika bertugas sebagai pembantu penguasa JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan

Che Taufiq didakwa menerima suapan terbabit daripada pemilik Syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank tertuduh sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Sementara itu, Mohd Afiq Ikhwan pula didakwa menerima suapan berjumlah RM3,500 bagi kesalahan yang sama.

Iklan

Masing-masing didakwa melakukan perbuatan itu sebuah bank di Jertih dalam daerah Besut antara 17 Disember 2017 sehingga 12 April 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.

Sebelum itu, Maziah mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh selain dikenakan syarat tambahan termasuk pasport diserahkan kepada SPRM.

Bagaimanapun, Ridha Abdah yang mewakili kedua tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan mereka perlu menyara keluarga termasuk isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudiannya memutuskan jaminan RM16,000 ditawarkan kepada Che Mohd Taufik manakala Mohd Afiq Ikhwan dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport, melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!