KUANTAN - MIC Pahang akan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pemilihan bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, Ramli Mohd Nor yang dipilih sebagai calon BN pada PRK Cameron Highlands yang dijadualkan pada 26 Januari ini.
Setiausaha MIC Pahang, Ismail Abdullah berkata, Ramli bukan calon MIC atau calon Umno tetapi calon BN yang dilihat mampu mempertahankan kerusi tersebut.
Menurutnya, MIC Pahang akan beri sokong padu kepada calon itu dan anggap beliau seperti calon MIC.
"Kita akan gerakkan jentera untuk bekerja bagi memastikan kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands untuk terus kekal mempertahankan kerusi tersebut.
"Kita tiada masalah dalam perkara ini walaupun pada awalnya jangkaan calon MIC terus diberi kepercayaan untuk bertanding,” katanya.
Ismail berkata, atas semangat setiakawan dalam BN, MIC Pahang akur dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana paling penting kekuatan BN perlu dikembalikan untuk berdepan persaingan PRK ini.
"Kita bersetuju dengan calon yang dipilih lebih-lebih lagi latar belakang Ramli sebagai anak tempatan berketurunan Orang Asli dari suku Semai, beliau cukup dikenali di kalangan masyarakat Orang Asli di sana.
"Malah latar belakang kerjaya beliau sebagai bekas pegawai kanan polis dilihat satu kelebihan beliau sebagai calon,” katanya.