YANGON - Panel yang dilantik Myanmar menyimpulkan bahawa hanya beberapa anggota tentera mungkin melakukan jenayah perang terhadap etnik minoriti Rohingya dan pasukan keselamatan negara itu tidak bersalah atas pembunuhan beramai-ramai.
Suruhanjaya Siasatan Bebas (ICOE) mengeluarkan keputusan siasatannya menjelang keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis ini, mengenai sama ada akan mengenakan langkah segera bagi menghentikan dakwaan genosid yang berterusan di Myanmar.
ICOE mengakui beberapa anggota keselamatan menggunakan kekerasan dan melakukan jenayah perang serta pelanggaran hak asasi manusia yang serius termasuk membunuh penduduk kampung dan memusnahkan rumah mereka.
Bagaimanapun, panel memutuskan jenayah itu bukan pembunuhan beramai-ramai.
"Bukti yang ada tidak mencukupi untuk mempertikai bahawa jenayah yang dilakukan telah dibuat dengan niat untuk memusnahkan secara keseluruhan atau sebahagian negara, etnik atau kumpulan agama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Akhiri krisis Rohingya sekarang: Tun M
Siasatan ICOE bagaimanapun ditolak oleh Pertubuhan Rohingya Myanmar United Kingdom (BROUK) yang menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang dilakukan untuk mengalih perhatian daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) Bahagian Asia, Phil Robertson turut berpendapat laporan ICOE seolah-olah menjadikan anggota individu sebagai kambing hitam berbanding meletakkan tanggungjawab terhadap ketenteraan.
"Keseluruhan penyiasatan ICOE termasuk metodologi dan operasi sangat tidak telus," jelasnya.
Pada Ogos 2017, operasi ketenteraan memaksa kira-kira 740,000 Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh. - AFP