Polis buru suspek larikan kereta di parkir stesen minyak

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan detik-detik suspek melarikan kereta Honda City milik seorang akauntan wanita di sebuah stesen minyak di Semambu pada Isnin.

KUANTAN - Polis memburu suspek kes melarikan sebuah kereta yang ditinggalkan bersama penumpang wanita warga emas di sebuah stesen minyak di Semambu dekat sini pada Isnin.

Tindakan nekad lelaki terbabit sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis stesen minyak sebelum videonya dimuat naik dan tular di laman sosial.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, suspek menurunkan penumpang di tepi jalan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian dan terus melarikan kereta jenis Honda City milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa yang beralamat dari Sentul, Kuala Lumpur bersama ayah, 77 tahun dan emaknya, 66 tahun berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak serta ke tandas.

Iklan

"Ketika mangsa mengisi minyak, ayah dan ibunya turun ke tandas.

Beliau berkata, ketika berjalan menuju ke tandas, mangsa terdengar emaknya menjerit meminta tolong dan melihat keretanya bergerak dalam keadaan laju.

Iklan

"Ibunya yang tidak sempat turun turut dilarikan sebelum ditinggalkan tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

"Setelah sampai, suspek terus masuk ke dalam kereta mangsa dan melarikannya.

"Semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan suspek mendapati ia motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Tambahnya, selain kereta, mangsa turut kehilangan telefon bimbit jenis IPhone 14, kad Touch n Go (TnG) dan Smart Tag yang berada dalam kenderaan dilarikan manakala anggaran nilai kerugian mencecah RM94,000.

"Usaha mengesan suspek dan kenderaan mangsa sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!