Jambatan Sungai Air Tawar-Hutang Melintang dijangka siap Jun 2026

Iklan
Rizam meninjau projek pembinaan jambatan itu di Kampung Sungai Air Tawar di sini pada Selasa.

SABAK BERNAM - Jambatan sepanjang 2.8 kilometer (km) menghubungkan Sungai Air Tawar, di sini ke Hutan Melintang, Perak dijadualkan siap pada Jun 2026.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kemajuan fizikal projek kerajaan Persekutuan itu melibatkan peruntukan RM219 juta itu sudah mencapai tahap 28 peratus sejak kerja pembinaan pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jambatan baharu itu akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di 18 buah kampung seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.

"Pembinaan jambatan ini dapat menjimatkan tempoh perjalanan lebih 30 minit dan ini sekali gus berupaya merancakkan lagi ekonomi setempat, pembangunan dan pelancongan di kawasan ini," katanya ketika ditemui selepas meninjau pembinaan projek itu pada Selasa.

Iklan

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, projek itu juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) selain memudahkan urusan penduduk antara dua negeri.

Penduduk di Sungai Air Tawar ketika ini terpaksa menggunakan jambatan utama di Sabak Bernam yang mengambil masa kira-kira sejam untuk ke Hutan Melintang, Perak.

Iklan

Sementara itu, seorang penduduk, Mohamad Adib Salihin, 44, berkata, pembinaan infrastruktur asas berkenaan amat dinantikan sejak sekian lama.

Mohamad Adib memberitahu, isterinya, Fazlina Jerman, 42, yang bekerja di Teluk Intan terpaksa menempuh laluan lebih jauh untuk menuju ke tempat kerjanya di sebuah hospital di Teluk Intan.

"Pembinaan jambatan baharu amat dinantikan terutama bagi mereka yang mempunyai urusan harian berulang-alik dari Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang atau dari arah bertentangan," jelasnya.

Peniaga makanan, Muhamad Ibrahim Januri, 61, berkata, kemudahan itu juga akan memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.

"Kita tidak mahu kawasan Sungai Air Tawar ini menjadi pekan mati dan pembukaan jambatan itu bakal memberi nafas baru kepada penduduk.

"Saya juga berharap kedai saya dikunjungi lebih ramai pelanggan bukan sahaja penduduk setempat, tetapi pelanggan dari Hutan Melintang atau pengunjung luar," tambahnya.