JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah membantu siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu terbabit cukup dekat dengan rakyat Malaysia kerana negara mempunyai pendirian tegas iaitu tiada sebarang hubungan dengan Israel.
"Isu yg dibangkitkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor itu, amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.
"Saya harap MOT dapat melakukan pemantauan terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal Isreal berlabuh dimana-mana pelabuhan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Halal On Tracj 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru di sini pada Selasa.
Sebelum itu, pada Ahad, Ahmad Zahid mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara Zionis terbabit.
Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.
ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad pada Sabtu dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!