IPOH - Kerajaan Perak berjaya membawa pelbagai perubahan sepanjang tahun 2019 lalu terutama daripada aspek pertumbuhan ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pencapaian yang dilakar kerajaan negeri pada tahun lalu didorong oleh kesatuan hati serta tindakan bersama di antara pemimpin, penjawat awam dan semua pihak.
Menurutnya, kejayaan tahun lalu itu hanyalah asas kepada satu perjalanan yang masih jauh bagi mengembalikan kegemilangan negeri Perak.
"Telah banyak berlaku perubahan di antara Januari 2019 hingga Januari 2020.
"Antaranya adalah berat badan saya dah bertambah 10kg, yang berhormat sahabat saya, YB Howard (Lee Chuan How) dah pandai ikat samping, YB Paul Yong (Choo Kiong) sekarang ini semakin fasih berfalsafah dan yang paling menarik, YB Hasnul (Zulkarnain Abd Munaim) dah pandai menyanyi.
"Kita sekarang dah ada Setiausaha Kerajaan Perak yang baharu, beliau juga memangku jawatan Datuk Bandar.
Hadir sama pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Exco-exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, 2020 tahun penting kepada kerajaan negeri untuk merangka Rancangan Pembangunan Perak 2021 hingga 2025 (RPP 21-25) selain pelaksanaan Bajet Negeri 2020 yang bertemakan Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif.
Katanya, sebanyak lima fokus utama pada tahun ini yang digariskan menjadi kunci kepada perancangan yang mampan untuk RPP 21-25.
Beliau berkata, lima fokus itu ialah rethink atau menilai, penggunaan data raya, memperkasa sistem penyampaian melalui inisiatif digital, berbangga dengan pekerjaan yang dilakukan dan bertanggungjawab dengan keputusan yang diambil serta tindakan bersama tangani perubahan iklim.
Menurutnya, oleh itu, semua penjawat awam diminta bersama-sama pentadbiran negeri mencari jalan untuk terus meningkatkan pencapaian kerajaan Perak.