SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengesan bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Berhad (AMGB), Ricky Wong Shee Kai berhubung pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram yang dihadapinya di mahkamah.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan memaklumkan pencarian itu berikutan pelbagai waran tangkap terhadap Ricky yang masih bebas serta percubaan untuk mengesan keberadaannya sebelum ini.
Beliau kini menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
"Pada 27 Disember 2019, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Ricky bagi dua pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 32(2)(a) Akta yang sama.
"Selepas itu, pada 29 September 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap kedua terhadapnya bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 369(b)(B) CMSA kerana memberikan kenyataan palsu berkaitan hasil AMGB kepada Bursa Malaysia," katanya pada Selasa.
Tambahnya, kenyataan palsu terbabit berhubung dengan hasil AMGB yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan AMGB mengenai keputusan disatukan bagi Suku Tahun Ke-4 berakhir 31 Disember 2015.
"SC sebelum ini telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian (Ken Ong) atas kesalahan yang sama pada 30 September 2021.
"Perbicaraan berkaitan kes terbabit kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Wong diminta memaklumkan kepada SC di talian 012-6102593/012-6114657 atau e-mel kepada SC di aduan@seccom.com.my.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!