SEBAGAI umat Islam yang mengaku cinta kepada Nabi Muhammad SAW, sudah semestinya kita akan menjadikan Baginda sebagai idola dan panduan hidup dalam segenap aspek termasuklah dalam soal percintaan.
Bagaimanapun, sirah Nabi Muhammad SAW ini kadangkala diceritakan dengan kisah-kisah yang ditokok tambah dan lebih membimbangkan lagi diambil dari riwayat yang palsu atau ditolak.
Baru-baru ini tular mengenai cinta pertama Rasulullah SAW yang mengaitkannya dengan Ummu Hani, sepupu Baginda sendiri dan merupakan kakak kepada Ali bin Abu Talib.
Dakwaan tersebut menyatakan Nabi Muhammad SAW pernah melamarnya sebanyak tiga kali dan ia menjadi bualan ramai ekoran status hadis yang digunakan adalah palsu.
Dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-597: Status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW, Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan menjelaskan, kisah berkenaan Baginda melamar Ummu Hani atau nama sebenarnya, Fakhitah binti Abu Talib namun lamaran itu ditolak adalah benar.
"Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran,” katanya.
Kenyataan 'first love' Nabi tidak diketahui sumber asalnya
Tambahnya lagi, untuk menyatakan Ummu Hani sebagai ‘first love’ atau cinta pertama Nabi Muhammad SAW adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar.
"Hal demikian supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan Baginda SAW,” jelasnya.
Jabatan itu menjelaskan, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkenaan peminangan Rasulullah SAW ketika Ummu Hani memeluk Islam selepas peristiwa pembukaan Kota Makkah. Abu Hurairah RA berkata:
"Bahawa Nabi SAW telah meminang Ummu Hani binti Abi Talib lalu dia berkata:
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah tua dan mempunyai keluarga (anak-anak).”
Jawab Nabi SAW:"Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menunggang unta (wanita Arab), paling penyayang sanggup menjanda untuk anak yang masih kecil, paling sanggup memelihara anak suaminya.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Hadis ini merupakan hadis sahih kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya. Sebagaimana maklum, ulama bersepakat menerima hadis-hadis yang terdapat dalam Sahih Al-Bukhari dan juga Sahih Muslim.
"Oleh itu, ia mestilah didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan seseorang,” jelasnya.
Meskipun begitu katanya, pihaknya tidak dijumpai mana-mana ayat al-Quran, riwayat hadis ataupun athar para sahabat yang menyebut apatah lagi menceritakan berkenaan cinta pertama Nabi SAW ini.
"Berhati-hatilah dalam menyatakan sesuatu ke atas Nabi SAW, Baginda bersabda:
"Sesungguhnya pendustaan di atas namaku bukanlah seperti pendustaan di atas nama orang lain, siapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)