GEORGE TOWN - Seorang lelaki dan anak saudaranya ditahan selepas didapati bergaduh di sebuah kedai makan di Jelutong di sini, pada 1 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, lelaki berusia 55 tahun dan anak saudaranya yang berusia 30-an itu akan dituduh di mahkamah pada Rabu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pergaduhan itu berpunca apabila lelaki tersebut telah membuat kacau di kedai makan milik anak saudaranya.
"Lelaki berkenaan ke kedai makan anak saudaranya dalam keadaan mabuk lalu membuat kacau menyebabkan anak saudaranya memukulnya.
"Ketika insiden itu berlaku, orang awam di lokasi kejadian cuba untuk meleraikan pergaduhan berkenaan. Polis yang tiba di tempat kejadian telah menahan empat lelaki termasuk dua beranak berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah Razlam, polis telah menahan empat lelaki tersebut namun dua daripada mereka telah dibebaskan pada Sabtu lalu.
"Dua lelaki yang dilepaskan itu merupakan orang awam yang cuba membantu meleraikan pergaduhan.
"Sementara itu, lelaki dan anak saudaranya masih direman dan akan dituduh di mahkamah esok," katanya.
Ujar beliau lagi, ujian saringan air kencing lelaki tersebut positif dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan," tambahnya.
Sebelum ini, terkesan satu klip video berdurasi 38 saat yang ditular di aplikasi X memaparkan satu insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu bersenjatakan pisau.
Hasil semakan polis, insiden itu berlaku pada jam 6.30 petang, 1 Jun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!