[VIDEO] Kemudahan khemah Arafah, Mina ditambah baik

Iklan

MAKKAH - Tabung Haji (TH) telah membuat beberapa penambahbaikan terhadap khemah jemaah haji Malaysia di Arafah dan Mina bagi memastikan keselesaan dalam beribadah bermula pada hari wukuf nanti.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, antara penambahbaikan di Arafah adalah jumlah bilik air dan tangki air ditambah bagi memastikan bekalan air tidak terputus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di Mina pula menyaksikan banyak penambahbaikan baharu berbanding tahun lepas termasuk dinding khemah dipasang dengan papan gypsum yang lebih kukuh, selamat dan selesa kepada jemaah.

Syed Saleh (tengah) ketika meninjau kemudahan yang terdapat di perkhemahan Mina.

"Kita juga telah tambah penghawa dingin baharu, yang mana pemasangan ini hanya melibatkan jemaah haji Malaysia sahaja. Selain itu terdapat juga pintu untuk memastikan suhu dalam khemah kekal.

Iklan

"Satu lagi penambahbaikan adalah pemasangan karpet permaidani ‘wall to wall’ dan tidak lagi sekeping sekeping serta lebih tebal untuk berikan keselesaan kepada jemaah haji sepanjang berada di sini,” katanya kepada petugas media, semalam.

Syed Saleh (tengah) meninjau kemudahan dan peralatan yang berada di khemah Arafah.

Beliau berkata demikian ketika melawat khemah jemaah haji Malaysia di Arafah dan Mina bersama pihak pengurusan Mashariq, pengurusan TH dan petugas haji.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, kawasan minum yang dipanggil sebagai kafeteria untuk minuman panas turut disediakan di stesen sepanjang lorong kawasan perkhemahan dengan lebih teratur berbanding sebelum ini.

Menurutnya, kesemua penambahbaikan ini menunjukkan kesungguhan TH dan Mashariq untuk memberikan kemudahan dan keselesaan agar mereka dapat tumpu kepada ibadah.

Syed Saleh (tengah) ketika ditemui petugas media selepas selesai lawatan ke khemah Mina.

"Tinjauan malam ini bersama Mashariq menunjukkan bahawa tahap persiapan di Arafah kini 70 peratus dan Mina hampir 80 peratus.

"Persiapan ini khusus untuk jemaah haji Malaysia dan kita harapkan ia siap 100 peratus dalam beberapa hari sebelum kita bawa jemaah ke Arafah dan Mina,” katanya.

Syed Saleh berkata, kemudahan khemah yang digunakan jemaah haji Malaysia adalah berbeza berbanding khemah negara lain termasuk dari segi bentuk, material dan kemudahan lain.

"Ini termasuk penghawa dingin lebih kuat dan jumlah lebih banyak berbanding negara lain selain kemudahan bilik air di Arafah dan Mina,” katanya.

Menurutnya, disebabkan Malaysia merupakan negara pertama yang telah selesai segala perjanjian di Masyair, TH diberi kelebihan untuk memilih mana-mana tapak yang bersesuaian.

"Oleh itu, kita telah pilih tapak di Mina dan Arafah untuk jemaah haji muassasah dan pakej. Contohnya di Arafah kita pilih hujung kawasan kerana ia berdekatan dengan laluan ke Muzdalifah, begitu juga dengan Mina, Muaisim kita telah pilih kerana berdekatan dengan mulut terowong,” katanya.