ALOR SETAR - Seorang peniaga menggunakan cara unik menghantar minuman menyeberangi parit besar menggunakan sistem takal kepada pelanggan membeli di gerainya di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar dekat sini.
Menurut Mohd Hidzir Harun, 45, pelanggan boleh menghubungi ataupun membuat tempahan minuman dengan menunggu sahaja di seberang parit berkenaan tanpa perlu berjalan jauh.
Tambahnya, minuman yang telah disiapkan kemudiannya diletakkan dalam raga khas.
"Seterusnya, saya akan menarik tali dipasang pada takal untuk menghantarnya ke seberang dan pelanggan mengambil pesanan mereka.
"Saya sudah mudahkan mereka menggunakan cara ini," katanya kepada ketika ditemui pada Selasa.
Dia berkata, pelanggan akan meletakkan wang bayaran dalam raga terbabit sebelum menariknya semula raga menggunakan tali dipasang khas itu untuk mengambilnya.
Mohd Hidzir yang berasal dari Tongkang Yard berkata, rakannya yang bekerja dalam industri perkapalan memberi idea tersebut berikutan kasihan dengan pelanggan terutamanya warga emas.
"Ada sebilangan pelanggan didapati tidak larat untuk berjalan jauh, sekali gus cara ini dapat membantu dan menjimatkan tenaga mereka membeli minuman," katanya.
Menurutnya, tiada sebarang caj dikenakan untuk khidmat penghantaran menggunakan raga ditarik tali terbabit.
"Cumanya, kadang-kala ada agak ramai di gerai, jadi pelanggan yang menempah dan ingin mengambil minuman dalam raga ditarik tali terpaksa menunggu sedikit," katanya.
Jelasnya lagi, dia menjual aneka minuman pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 di gerai yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat.
"Alhamdulillah, saya telah berniaga di medan selera ini selama tujuh tahun dan sambutan pelanggan amat menggalakkan.
"Semenjak cara unik digunakan saya tular, tidak dinafikan makin ramai pelanggan dan ada tidak melepaskan peluang menggunakan khidmat menghantar minuman menggunakan raga itu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!