KUALA LUMPUR - Grab Malaysia sudah memohon pampasan bagi pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal pengiring baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata permohonan berkenaan difailkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada pagi Selasa.
Menurutnya, permohonan sedemikian biasanya tidak mengambil masa lama untuk diproses.
"Kita akan melihat kepada perlindungan manfaat yang sewajarnya.
"(Begitupun) Saya kena periksa dengan Perkeso untuk lihat adakah ini perkara yang dilindungi di bawah insurans Perkeso,” katanya.
Baru-baru ini orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu.
Fahmi juga mengingatkan netizen untuk berhati-hati dan tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di media sosial, selain ia juga bertujuan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!