Angkasa sasar 600 koperasi ada Sijil Pematuhan Syariah tahun depan

Iklan
Dr Abdul Fatah (tiga, kiri) ketika sidang akhbar selepas Perasmian Bengkel Kesedaran dan Pemerkasaan Pematuhan Syariah 2024 Negeri Melaka di Hotel MITC, Ayer Keroh di sini, pada selasa.

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedang berusaha untuk memperkasakan sistem kewangan Islam di negara ini dengan menyasarkan 600 koperasi kredit di bawahnya mempunyai Sijil Pematuhan Syariah menjelang tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah, berkata, setakat ini sejumlah 210 buah koperasi pembiayaan di bawah Angkasa telah mempunyai sijil berkenaan, manakala 390 baki koperasi sedang ke arah itu pada 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan koperasi yang belum mendapat sijil tersebut dalam proses rundingan untuk memperolehinya sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan patuh syariah negara.

Katanya, usaha ini juga secara tidak langsung dapat melindungi ahli-ahlinya daripada unsur riba dan memastikan keuntungan yang diperolehi mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Iklan

"Bagaimanapun kita berdepan cabaran apabila ada juga sijil yang diiktiraf kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dipalsukan oleh syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab.

"Mereka melakukan perbuatan itu untuk menarik keyakinan pelabur namun setelah diperkenalkan kod QR tiada lagi aduan pemalsuan atau penyelewengan Sijil Patuh Syariah diterima," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Bengkel Kesedaran dan Pemerkasaan Pematuhan Syariah 2024 Negeri Melaka di Hotel MITC, Ayer Keroh di sini, pada selasa.

Jelasnya, sebarang kes pemalsuan sijil berkenaan boleh dipanjangkan kepada Angkasa atau pihak polis bagi mengelak orang ramai terus terpedaya dengan taktik penipuan tersebut.

"Setelah kita menambah baik ciri-ciri keselamatan pada sijil menerusi penggunaan kod QR, tiada lagi ada aduan pemalsuan sijil yang diterima berbanding 10 aduan pemalsuan sijil itu sebelum ini," katanya lagi.