Jafri belum puas ledak gol

Iklan
Jafri bersedia menjadi peledak berbisa buat Sabah FC. Foto FB MFL

PENYERANG Sabah FC, Jafri Firdaus Chew bersedia untuk terus menjadi peledak gol terutamanya bagi membantu The Rhinos meraih kemenangan untuk aksi pusingan 16 Piala FA berdepan Kuala Lumpur (KL) Rovers FC pada 15 Jun ini.

Aksi Jafri antara yang turut menjadi perhatian terutamanya selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Kuching City FC menerusi jaringannya pada minit-84 dalam aksi Liga Super.

Iklan
Iklan

Justeru, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berharap dia mampu untuk memberikan yang lebih baik dalam memastikan Sabah FC mara sejauh mungkin di pentas Piala FA edisi ini.

Meskipun berdepan KL Rovers FC, dia tetap merasakan kelab dari Liga A1 Semi Pro itu tidak akan memberi laluan mudah apatah lagi dengan barisan pemain berpengalaman yang mereka ada ketika ini.

Iklan

"Bagi permulaan aksi liga, nak kata saya berpuas hati pun tidak boleh juga sebab liga masih lagi panjang.

"Banyak lagi yang saya kena perbaiki tetapi tahap keyakinan semakin baik untuk saya cuba lagi menjaringkan gol selepas ini.

Iklan

"Apa pun, kami memang tak ambil mudah untuk lawan KL Rovers sebab kita tahu pemain-pemain mereka adalah berpengalaman dan pernah bermain di Liga Super juga,” katanya.

Selain itu, Jafri terus menunjukkan taring selepas berjaya menjaringkan satu gol ketika berdepan Selangor FC dan PSIS Semarang dalam Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa, RCTI Premium Sports di Jakarta baru-baru ini.

Meskipun Sabah meraih tempat ketiga dalam kejohanan tersebut, Jafri mengakui dua aksi yang mereka harungi benar-benar menguji kemampuan barisan pemain.

"Kejohanan itu memang bagus untuk pasukan kami sebab sekurang-kurangnya dapat juga buat persiapan yang lebih baik sebelum Liga Malaysia sambung balik.

"Banyak yang kami belajar juga dan dapat tahu di mana kelemahan yang ada selain ini juga peluang bagus untuk menaikkan lagi tahap keyakinan pemain-pemain yang ada dan yang jarang beraksi.

"Walaupun perlawanan pertama kami kalah dengan Selangor, tetapi banyak yang kita dapat nilai daripada situ dan memang tidak dinafikan Selangor ada pemain-pemain muda yang berkualiti,” katanya.

Terdahulu, Sabah tewas 2-3 kepada Selangor sebelum menang 2-1 ke atas PSIS Semarang sekali gus merangkul tempat ketiga kejohanan tersebut. - MFL