GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencadangkan kerajaan Pulau Pinang supaya mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi meringankan bebanan kewangan dihadapi rakyat yang terkesan dengan kenaikan tarif air di negeri ini.
Ini kerana, beliau dihujani aduan dan rungutan daripada rakyat mengenai bil air yang dikatakan telah naik begitu tinggi berikutan pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung dan Labuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Antara yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ialah melaksanakan bacaan meter dan pengebilan secara bulanan menggantikan pengebilan dwi bulanan ketika ini.
"Pengguna perlu diberi opsyen untuk memilih bacaan meter dan pengebilan secara bulanan walaupun belum dipasang meter air pintar di kediaman atau premis mereka," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya baru-baru ini.
Tambah beliau, PBAPP perlu lebih gigih mempromosikan Skim Rebat Mesra Keluarga yang ditawarkan oleh PBAPP kepada keluarga B40 dengan pendapatan isi rumah RM2,250 sebulan dan ke bawah supaya lebih ramai rakyat maklum mengenai perkara tersebut.
"Selain itu, jumlah pendapatan isi rumah bagi skim Rebat Mesra Keluarga untuk B40 ini juga perlu disemak semula sejajar dengan Pendapatan Garis Kemiskinan yang telah disemak semula pada tahun 2022.
"Nilai RM2,250 adalah Pendapatan Garis Kemiskinan bagi kategori rakyat miskin, bukan lagi pendapatan isi rumah bagi golongan B40 pada masa ini," ujarnya lagi.
Reezal berkata, kelompok B1 dalam kategori B40 terkini adalah mereka yang pendapatan isi rumah kurang dari RM2,560 sebulan manakala bagi B2 adalah di antara RM2,560 hingga RM3,439 sebulan.
"Semoga cadangan dan syor ini mendapat perhatian dan pertimbangan kerajaan Pulau Pinang yang telah terbukti sentiasa cakna dan prihatin dengan pemasalahan rakyat.
"Keluarga Pulau Pinang sentiasa jadi keutamaan selaras dengan gagasan Penang 2030," katanya.
Sebelum ini, kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari lalu yang mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan 50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu 22 sen.
Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan akan dikenakan RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu, berbanding kadar semasa masing-masing 46 dan 68 sen.
Susulan kadar baharu itu, ramai pengguna di Pulau Pinang terkejut dengan peningkatan kadar bil bekalan air dengan kebanyakan meningkat lebih 100 peratus sehingga lebih 150 peratus sejak Februari lalu.