PM dijangka umum insentif, pengecualian cukai JS-SEZ dalam Belanjawan 2025

Iklan
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian Program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Selasa. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Insentif berhubung pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan jemaah menteri dalam waktu terdekat.

Iklan
Iklan

"Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ada bertanya mengenai insentif sempena JS-SEZ, antara permintaannya termasuklah 'tax holiday' (pengurangan atau penghapusan sementara cukai). Mungkin itu boleh dipertimbangkan.

"Saya akan sampaikan pesanan itu kepada Perdana Menteri esok. Sekiranya bersesuaian beliau mungkin umumkan insentif JS-SEZ semasa pembentangan belanjawan akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program 'Halal on Track@Johor Darul Ta’zim' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Selasa.

Iklan
Ahmad Zahid (lima, kanan) bersama Onn Hafiz (enam, kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (empat, kanan) merasmikan Program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Selasa. Foto Bernama

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika merasmikan program itu menyarankan pengusaha produk halal tempatan mengambil peluang terhadap pasaran domestik China melibatkan seramai 1.4 bilion penduduk.

"Semasa lawatan ke China baru-baru ini, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menyarankan supaya produk halal Malaysia turut dipasarkan di negara itu, sama ada melalui syarikat Fortune 500 atau syarikat lain.

Iklan

"Ini kerana produk halal bukan sahaja bersesuaian untuk masyarakat Muslim tetapi kerana kandungan, proses dan kebersihannya melalui ujian saintifik, ia turut diterima penganut bukan Islam di negara itu," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, antara industri yang difokuskan kerajaan negeri dan persekutuan menerusi JS-SEZ adalah industri halal.

"Tidak lama lagi, perjanjian antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ akan ditandatangani, dijangka berlangsung pada September tahun ini.

"Johor juga mempunyai Iskandar Halal Park berkeluasan 4.04 hektar dengan 70 peratus daripadanya telah dihuni usahawan manakala 30 peratus lagi akan diisi. Kita juga merancang untuk meluaskan lagi kawasan tersebut pada masa depan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!