PONTIAN - Seorang lelaki yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Isnin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, mangsa Shamsudin Bachok, 52, yang bekerja sebagai nelayan merupakan OKU hilang upaya di bahagian kaki sebelah kanan.
"Motosikal milik mangsa telah ditemui di belakang sebuah kilang kayu berhampiran Sungai Benut. Isteri mengesyaki mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Benut.
"Beberapa orang nelayan memberitahu ada ternampak mangsa di pesisir Sungai Benut pada petang Isnin," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Pontian, Polis Marin Wilayah 2 Kukup, Angkatan Pertahanan Awam Pontian dan turut dibantu oleh nelayan tempatan Sungai Benut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!