NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) mencatat rekod baharu selepas mengendalikan jumlah kontena bulanan tertinggi sebanyak 335,361 TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada Mei lalu.
Pencapaian itu melepasi rekod sebelumnya iaitu 310,865 TEU yang dicatatkan pada Disember 2020 dan mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 26.6 peratus berbanding Mei 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, krisis geopolitik Laut Merah telah memberi kesan teruk kepada perdagangan antarabangsa, mengakibatkan beberapa lencongan kapal daripada pelabuhan utama di rantau ini.
"Sejak Januari tahun ini, Northport telah menerima lebih daripada 80 singgahan ‘ad-hoc‘ terutamanya disebabkan oleh krisis global ini.
"Selain itu, ditambah dengan jumlah kendalian kontena lebih tinggi didorong oleh usaha pemasaran agresif dan peningkatan produktiviti hasil daripada infrastruktur yang ditambahbaik, kami berjaya mencapai prestasi pecah rekod pada bulan lalu.
"Pencapaian ini mencerminkan keupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap, mengekalkan produktiviti yang tinggi secara konsisten dan memastikan tempat berlabuh semasa ketibaan untuk jumlah singgahan kapal yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pencapaian pecah rekod yang dicatat pada bulan Mei turut terhasil daripada bermulanya dua perkhidmatan baharu serta peningkatan jumlah kendalian sedia ada di Northport pada bulan tersebut.
"Infrastruktur kemudahan terminal di bahagian laut dan darat yang canggih di Northport telah terbukti mampu mengendalikan permintaan perdagangan maritim moden," katanya.
Menurut Azman, pada 20 Mei lalu, Northport mengalu-alukan ketibaan kapal MV OOCL Japan, kapal kontena terbesar yang pernah berlabuh di fasilitinya.
Tambahnya, ia dimiliki oleh Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, MV OOCL Japan berkapasiti sebanyak 21,413 TEU, telah mencipta rekod baharu buat Northport setelah mengatasi rekod persinggahan kapal terbesar sebelum ini di pelabuhannya iaitu Eugen Maersk yang mempunyai kapasiti 11,000 TEU pada tahun 2013.
"Pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh Northport setakat ini telah meletakkan syarikat di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya pada tahun 2024.
"Bagi lima bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sebanyak 1,390,916 TEU kontena, mengalami peningkatan 11.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.
Northport pernah meraih pencapaian cemerlang dengan mengendalikan sejumlah 3,324,364 TEU kontena pada tahun 2021, iaitu pengendalian kontena tahunan tertinggi di dalam sejarah syarikat.
Pada tahun 2023, Northport juga mencatatkan pencapaian baharu untuk segmen kendalian kargo konvensional dengan mengendalikan sebanyak 11,405,312 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 11,115,670 FWT yang dicapai pada 2022.
"Kami amat berbangga dengan prestasi pecah rekod ini yang membuktikan komitmen Northport terhadap kecemerlangan dalam operasi kami.
"Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi, kerja keras kakitangan kami dan sokongan rakan kongsi serta kepercayaan pelanggan yang dihargai.
"Kami menjangkakan baki pada 2024 ini akan memberikan peluang dan cabaran yang lebih besar. Syarikat kami kekal fokus untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan komited bagi menjadikan 2024 sebagai satu lagi tahun kejayaan buat Northport," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!