GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas empat bungkusan dipercayai dadah bernilai RM120,000 pada tengah malam Selasa.
Dadah berkenaan ditemui di sekitar perairan 2.5 batu nautika barat Muka Head pada jam 12.40 tengah malam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, bot peronda yang sedang melakukan rutin penguatkuasaan di kawasan tersebut telah menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah di perairan Muka Head.
Menurutnya, selepas menerima maklumat, bot penguat kuasa ke lokasi tersebut dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang membuang beberapa bungkusan berwarna kuning ke dalam laut.
"Setelah pemeriksaan, kita mendapati bungkusan tersebut mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah. Ia diletakkan di dalam bungkusan teh Cina dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Bagaimanapun, bot terbabit berjaya melarikan diri dan terus hilang dari pengesanan radar," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, kesemua dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 18,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
"Kesemua bungkusan itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Mereka yang terlibat telah melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Razali berkata, maklumat yang diperoleh adalah hasil daripada koordinasi Ops Bersepadu yang telah dijalankan sejak kebelakangan ini.
"Oleh demikian, Maritim Malaysia berharap penyaluran maklumat seperti ini dapat diteruskan bagi menangani aktiviti penyeludupan dan pembasmian penyalahgunaan dadah di perairan Pulau Pinang," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!