Kepentingan hak asasi manusia selari konsep Malaysia Madani - PM

Iklan
Anwar semasa pertemuan beliau dengan Volker dan delegasinya di Parlimen pada Selasa. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Kepentingan hak asasi manusia selari dengan apa yang dibawa dalam konsep Malaysia Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk di Parlimen pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Sebuah negara perlu ada wawasan bertunjangkan nilai asas yang diperlukan di dalam masyarakat harmoni, berkembang maju dan aman tanpa melupakan konsep ihsan serta hak asasi manusia," katanya.

Perdana Menteri berkata, lawatan Volker dan delegasinya ke Malaysia adalah atas jemputan kerajaan.

Iklan

Beliau berkata, ia sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai hak asasi manusia untuk dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

Menerusi hantaran berasingan, Anwar berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Emiriah Arab Bersatu, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi.

Iklan

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ialah kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam bidang ekonomi.

"Alhamdulillah, banyak kerjasama yang telah diusahakan antara agensi dan juga syarikat kedua-dua negara sebelum ini dan juga yang dirancang pada masa hadapan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, komitmen lebih padu dan erat dijangka dapat diteroka menerusi kerjasama ekonomi lebih mendalam khususnya melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Yang Komprehensif (CEPA) yang sedang dirundingkan.

Tengku Zafrul pula berkata kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu menjelang tahun ini.

Sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ia dijangka membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi lebih mendalam dan memupuk persekitaran kondusif untuk peningkatan aliran perdagangan serta pelaburan bukan sahaja antara kedua-dua negara tetapi juga ASEAN dan rantau GCC secara amnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!